Isnin, 27 Disember 2010

POKOK PATAH TULANG.

Pokok ini telah ditemui penulis.
Jenis pokok renik. Berdaun lebar dan sedikit berbulu/berduri halus tetapi tidak mencederakan.
Berwarna hijau cerah. Pokok ini boleh tumbuh di mana-mana kawasan. Lebih mudah ditemui dan tumbuh subur subur di kawasan tanah lembap. Pokok dan daun pokok patah tulang ini tidak dimakan oleh ulat. Bermakna, jika ditanam, ia tidak perlu siram dengan racun serangga.

Pokok patah tulang digunakan oleh orang-orang tua zaman dulu untuk mengatasi masalah patah tulang. Penulis telah cuba mencari jenis pokok ini di internet untuk mengetahui nama saintifiknya tetapi sehingga kini masih belum ditemui lagi. Bagaimanapun, di kawasan yang ditemui penulis, pokok ini tumbuh dengan banyaknya.

Penulis cuba untuk memahami lebih mendalam tentang pengambilan pokok ini untuk dijadikan bahan rawatan patah tulang yang dikatakan amat berkesan itu. Ah, sungguh mudah! Sesiapa yang ingin mengambil khasiatnya (dijadikan ubat), langkah berikut perlulah diikuti;
1. Ambil daunnya sahaja.
2. dan satukan dengan arang kayu.

Cara-cara penyediaannya.
i. Tumbuk arang kayu hingga betul-betul hancur menjadi tepung.
ii. Tumbuk lumat daun pokok patah tulang.
iii. Satukan kedua bahan di atas, gaul rata/hingga sebati.
iv. Tekapkan/Kepalkan/Tepiskan di bahagian kaki atau tangan yang patah.
v. Balut bahagian yang dikepal/ditepis dengan cermat (jangan sampai bahan boleh terlerai/jatuh/terbuka).
vi. Basahkan bahagian yang dibalut dengan air campuran dua bahan yang telah digaul rata apabila bahan yang dikepal/ditepis kering.
vii. Biarkan sehingga seminggu.

Kepada semua pembaca, petua ini cuma untuk patah tulang kaki dan tangan sahaja. Untuk patah tulang belakang, patah rusuk, patah tengkuk atau retak tengkorak kepala tidak disentuh. Dan sebaiknya untuk patah dan retak yang dinyatakan, segeralah dibawa berjumpa doktor pakar.

Cara rawatan tradisional ini adalah alternatif orang zaman dulu. Maklumlah masa itu sukar untuk mendapatkan rawatan hospital disebabkan tinggal jauh daripada pusat kesihatan yang ada. Sungguh pun begitu, kata orang tua-tua, alternatif ini berjaya sepenuhnya - baiklah tu! Tulang yang patah pulih kembali.

Penulis ingin mencadangkan agar walaupun pokok patah tulang ini tumbuh banyak di halaman rumah pembaca tetapi jika berlaku kemalangan, segeralah ke hospital terlebih dahulu. Manalah tahu, bahagian yang cedera telah dijangkiti kuman. Zaman dulu tidak tahu bab kuman ini. Jadi, gunakanlah alternatif yang terbaik.

Tapi, pembaca boleh gunakan bahan ini untuk FIRST AID atau untuk rawat haiwan pembaca yang patah tulang. Mesti nak tengok dulu keberkesanannya, kan? Menjadi bahan rawatan awal atau FIRST AID memang perlu seandainya kebetulan patah tulang berlaku di waktu malam dan hujan lebat. Mahu ke hospital tiada kenderaan atau kenderaan tidak boleh lalu di jalan yang ada - becak, berlubang, licin dan bahayalah gitu!

Jadi, sebelum sampai ke hospital, jadikanlah pokok patah tulang ini sebagai bahan rawatan awal. Manalah tahu, tup-tup sampai di hospital...doktor kata tulangnya sudah bersatu/pulih. Penulis optimis untuk menjadikan pokok ini sebagai pilihan terbaik untuk rawatan sementara atau rawatan kepada haiwan kesayangan yang patah tulang. Sesiapa yang hendakkan pokok ini untuk ditanam di halaman rumahnya, hubungilah penulis.

Orang tua ada berkata, kalau tiada rotan, akar pun berguna juga! Demikianlah halnya dengan penggunaan pokok dimaksudkan untuk tujuan yang juga telah dinyatakan. Akhir kata dari penulis, jangan percaya sangat dengan petua tetapi JANGAN TIDAK PERCAYA DENGAN PETUA ORANG TUA.

Sekian dan selamat mencuba!

(*Kepada pembaca yang inginkan bahan untuk rawatan batu karang di dalam buah pinggang, segeralah hubungi penulis untuk mendapatkannya)

Wassalam.

Tiada ulasan: